Saturday, 2 April 2011

PUASA

Firman Allah Ta’ala :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 183)
Pengertian Puasa
Ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.
Hukum – Hukum Puasa                                                                                                                                                                             
1.     Wajib
2.     Sunat
3.     Makruh
4.     Haram

Puasa wajib :                                                              
Puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, qada’ puasa Ramadhan,puasa kifarah & puasa nazar.
Puasa Sunat :                                                                                             
 a)  Puasa dalam bulan Sya’ban
b)  Puasa 6 hari dalam bulan Syawal
c)  Puasa Arafah pada 9 zulhijjah
d)  Puasa hari  Tasu’a  dan  ‘Asyura pada 9 & 10 Muharram
f)  Puasa pada hari Isnin & Khamis
g)  Puasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan pada 13,14 & 15
h)  Puasa satu hari berbuka satu hari
i)  Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji atau tidak.
j)  Puasa dalam bulan–bulan haram iaitu bulan Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram dan Rejab
Puasa Makruh :
a)  Menentukan hari untuk berpuasa seperti jumaat sahaja,Sabtu & Ahad sahaja
b)  Berpuasa sepanjang tahun
Puasa Haram :
a)  Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
b)  Puasa pada hari syak iaitu pada hari 30 Sya’ban
c)  Puasa pada hari raya aidil fitri,hari raya aidil adha dan hari-hari Tasyrik
d)  Puasa perempuan haid & Nifas
e)  Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
Syarat-syarat Puasa
Terbahagi kepada 2 :
1)  Syarat-syarat wajib
2)  Syarat-syarat sah
Syarat wajib
a)  Islam
b)  baligh
c)  berakal
d)  berupaya(sihat)
e)  bermukim
Syarat Sah
a)  Islam
b)  Berakal
c)  Bersih daripada haid & Nifas sepanjang hari
d)  Niat
Rukun Puasa
a)  Niat
b)  Menahan diri dari makan & minum serta perkara-perkara yang membatalkannya
Masa Puasa
Puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari
Faedah Puasa
a)  Melahirkan perasaan belas kasihan terhadap golongan miskin
b)  Mendidik nafsu & jiwa kearah kebaikan
c)  Dapat merasai apa yang ditanggung oleh golongan miskin
d)  Puasa merupakan perbuatan taat kepada Allah
e)  Mendidik budi pekerti untuk memiliki sifat-sifat terpuji
f)  Puasa mengajar seseorang supaya beramanah terhadap diri sendiri
g)  Puasa mengajar kesabaran dan berperaturan
f)  Puasa menyebarkan perasaan kasih sayang & persaudaraan dalam jiwa manusia
Sunat-sunat puasa
a)  Makan Sahur serta melambatkannya
b)  Menyegerakan berbuka puasa & sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis
c)  Menjamu orang-orang yang berbuka puasa
d)  Mandi junub,haid dan nifas sebelum fajar
e)  Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
f)  Membaca Al-Quran
g)  Beriktikaf terutama 10 hari terakhir bulan Ramadhan
Perkara makruh ketika berpuasa
 a)  Berbekam
b)  Mengeluarkan darah
c)  Berkucup
d)  Merasa makanan
e)  Bersugi selepas gelincir matahari
f)  Mencium wangian
Perkara yang membatalkan puasa
 a)  Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja kecuali terlupa
b)  Makan dan minum sepanjang hari
c)  Muntah dengan sengaja
d)  Bersetubuh atau keluar mani dengan sengaja
e)  Keluar darah haid & nifas
f)  Gila
g)  Pitam atau mabuk sepanjang hari
h)  Murtad
Keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa
a)  Musafir
b)  Sakit
c)  Mengandung & Ibu yang menyusukan anak
d)  Tua
Keistimewaan Bulan Ramadhan
a)  Bulan yang mulia,berkat dan setiap doa akan dimakbulkan
b)  Allah merahmati orang yang mengimaninya
c)  Al-Quran diturunkan dalam bulan ini
d)  Iblis dipenjarakan
e)  Terdapat malam yang mulia iaitu malam Lailatul qadar.
f)  Solat tarawikh dan zakat fitrah dilaksanakan. 
Menghormati Bulan Ramadhan
a)  Kita hendaklah mengelakkan diri daripada kebiasaan yang boleh merugikan diri kita seperti berbelanja dengan boros,suka berhibur,membuang masa dan bersembang tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah sebaliknya hendaklah kita menyambut Ramadhan dengan azam yang tinggi untuk memperbanyakkan ibadat bagi menyucikan jiwa.
b)  Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan kerana seseorang yang menanam benih jika tidak membaja,menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik di masa hadapan.
Niat Puasa dan Qadha’ Puasa Ramadhan
1)  Lafaz niat puasa fardhu Ramadhan :
                                                                                               
نويت صوم غد عن أداء فرض شهررمضان هذه السنة لله تعالى .
                                                                                               
Ertinya : Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
2)  Lafaz niat puasa Qhada’ Ramadhan :
نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى .
                                                                                               
Ertinya :  Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala.
Doa Ketika Berbuka Puasa
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين.
Ertinya : Ya Tuhanku keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.
Qada’ Puasa Ramadhan
Ialah menggantikan puasa yang terbatal pada bulan Ramadhan diatas sebab-sebab yang diharuskan berbuka oleh syara’
Hukum Qada’ Puasa Ramadhan
Wajib menggantikan puasa Ramadhan bagi yang membatalkan puasa Ramadhannya samaada kerana keuzuran ataupun tanpa sebarang keuzuran
Firman Allah Ta’ala :
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ 
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)     

Waktu Qada’ Puasa Ramadhan
-  Waktunya selepas bulan Ramadhan sehingga ke bulan Ramadhan yang berikutnya walaubagaimanapun qada’ puasa yang dilakukan dalam masa dilarang berpuasa adalah tidak sah contohnya seperti di hari raya.
-  Adapun bagi orang yang mengakhirkan qada’ Ramdhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi maka ia wajib qada’ dan membayar fidyah.
Kifarah Puasa
Ialah seseorang yang merosakkan puasanya dalam bulan Ramadhan dengan jalan melakukan jima’ maka ia wajib membayar kifarah (denda) iaitu si suami wajib mengeluarkan kifarah & qada’ puasa yang terbatal kerana jima’ walaubagaimanapun si isteri tidak wajib mengeluarkan kifarah tetapi wajib qada’ puasa yang terbatal.
Kifarah bagi puasa yang batal atau rosak ialah :
1)  Membebaskan seorang hamba yang beriman
2)  Jika tiada hamba untuk dibebaskan, wajib ke atasnya  berpuasa 2 bulan berturut-turut
3)  Jika tidak mampu berpuasa, wajib dia memberikan makan 60 orang fakir miskin setiap seorang mendapat secupak makanan asasi negeri itu.
Fidyah
Ialah bayaran denda dengan memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) dengan sebab-sebab tertentu atau mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi. Satu cupak bersamaan dengan 620 gram.
Hukum Fidyah
Wajib di keluarkan berdasarkan Firman Allah Ta’ala :
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ 
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”.  (Surah Al-Baqarah Ayat 184)                                                     
Sebab-sebab wajib Fidyah
1)  Tidak mampu melakukan ibadah puasa
2)  Sakit yang tidak mampu untuk sembuh
3)  Perempuan hamil atau menyusukan anak iaitu jika berpuasa mendatangkan mudharat kepada anak yang di kandung dan boleh mengurangkan air susu
4) Mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi.


Read more...

Friday, 1 April 2011

SOLAT NAFILAH


  • Nafilah bermaksud tambahan dan dalam konteks sembahyang ialah sembahyang tambahan daripada apa yang difardhukan oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Sembahyang sunat terbahagi kepada dua bentuk iaitu:

1. Sembahyang yang tidak sunat dilakukan secara berjama‘ah.

2. Sembahyang yang sunat dilakukan secara berjama‘ah.


Sembahyang Yang Tidak Disunatkan Berjama‘ah

  • Sembahyang yang tidak disunatkan secara berjama‘ah juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu sembahyang sunat yang mengiringi fardhu dan yang tidak mengiringi fardhu.

1. Sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi dua:

a) Sembahyang yang merupakan sunnah mu’akkadah, yang terdiri daripada:

i. Dua raka‘at sebelum sembahyang Subuh.

ii. Dua raka‘at sebelum dan selepas sembahyang Zuhur.

iii. Dua raka‘at selepas sembahyang Maghrib.

iv. Dua raka‘at selepas sembahyang ‘Isya’.

b) Sembahyang yang bukan sunnah mu’akkadah pula terdiri daripada:

i. Dua raka‘at sebelum sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at yang mu’akkadah.

ii. Dua raka‘at selepas sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at yang mu’akkadah.

iii. Empat raka‘at sebelum sembahyang ‘Asar.

iv. Dua raka‘at yang ringan sebelum sembahyang Maghrib. Maksud “ringan” ialah melakukan rukun-rukun sembahyang, sunat-sunat dan adab-adabnya seminimum yang mungkin.

v. Dua raka‘at yang ringan sebelum sembahyang ‘Isya’.

2. Sembahyang sunat yang tidak mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

a) Sembahyang sunat yang tiada nama dan waktu tertentu yang lebih dikenali sebagai sembahyang sunat mutlaq, dilakukan pada mana-mana waktu kecuali pada waktu tertentu yang dilarang melakukannya. Ia dilakukan dengan diberi salam pada setiap dua raka‘at.

b) Sembahyang sunat yang ada nama dan waktu tertentu, antaranya:

i. Sembahyang sunat tahiyyatul masjid, iaitu sembahyang dua raka‘at sebelum duduk setiap kali masuk masjid. Tahiyyatul masjid terhasil dengan sembahyang fardhu atau dengan mana-mana sembahyang sunat yang lain kerana maksud daripadanya ialah seseorang itu tidak segera duduk dalam masjid tanpa menunaikan sembahyang.

ii. Sembahyang sunat witir. Ia merupakan sunnah mu’akkadah. Dinamakan witir atau ganjil kerana ia disudahi dengan satu raka‘at berlainan dengan sembahyang yang lain. Waktu sembahyang witir ialah di antara sembahyang ‘Isya’ dan terbit fajar. Yang paling afdhal ialah dilewatkan sehingga ke akhir sembahyang malam. Sekurang-kurang witir ialah satu raka‘at, tetapi makruh jika hanya melakukan dengan bilangan tersebut dan sekurang-kurang bilangan raka‘at yang sempurna ialah tiga raka‘at. Didirikan dua raka‘at kemudian satu raka‘at. Jumlah yang paling sempurna ialah sebelas raka‘at.

iii. Qiyamullail. Ia dinamakan juga dengan tahajjud jika dilakukan selepas tidur. Qiyamullail merupakan sunat yang tidak mempunyai bilangan raka‘at yang tertentu. Ia ditunaikan selepas bangun tidur dan sebelum azan Subuh.

iv. Sembahyang sunat dhuha. Sekurang-kurang sembahyang sunat dhuha ialah dua raka‘at dan yang paling banyak dan sempurna ialah lapan raka‘at. Ia lebih afdhal jika dipisahkan pada setiap dua raka‘at dengan salam. Waktunya bermula dari naik matahari sehingga gelincir dan yang afdhalnya ialah setelah berlalu satu perempat siang hari.

v. Sembahyang sunat istikharah, iaitu sembahyang dua raka‘at yang didirikan bukan pada waktu yang dimakruhkan. Ia disunatkan kepada sesiapa yang ingin kepada sesuatu atau ingin melakukan sesuatu perkara yang diharuskan tetapi dia tidak mengetahui kebaikan yang ada padanya. Disunatkan membaca doa ma’thur yang datang daripada Rasulullah selepas selesai sembahyang. Jika selepas itu Allah membuka hatinya untuk melakukan perkara tersebut, maka dia boleh melakukannya.

SEMBAHYANG YANG DISUNATKAN SECARA BERJEMAAH

Sembahyang Dua Hari Raya

  • Sembahyang hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya korban merupakan sunnah mu’akkadah. Ia dituntut supaya dilakukan secara berjama‘ah tetapi tetap sah jika dilakukan secara bersendirian. Waktunya bermula dari terbit matahari hingga gelincir matahari. Waktu yang lebih afdhal ialah ketika matahari naik sekadar panjang lembing (tinggi segalah).
  • Sembahyang hari raya mempunyai dua raka`at. Ia dimulakan dengan takbiratul ihram kemudian membaca doa iftitah, kemudian bertakbir sebanyak tujuh kali seperti mana takbiratul ihram. Ketujuh-tujuh takbir tadi dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana dan disunatkan membaca tasbih. Kemudian membaca al-isti`azah dan membaca al-fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa ayat. Takbir untuk raka‘at yang kedua hanyalah sebanyak lima kali. Selain daripada itu disunatkan berkhutbah dengan dua khutbah setelah selesai sembahyang sama seperti khutbah jumaat, cuma ia dilakukan selepas sembahyang.

Sembahyang Tarawih

  • Sembahyang tarawih disyari‘atkan khusus pada bulan Ramadhan dan sunat didirikan secara berjama‘ah serta sah jika didirikan secara individu. Waktunya di antara sembahyang ‘Isya’ dan sembahyang Subuh dan sebelum sembahyang witir. Ia boleh didirikan sebanyak lapan raka‘at dan boleh sebanyak dua puluh raka‘at dengan dilakukan setiap dua raka‘at satu salam.

Sembahyang Gerhana Matahari dan Bulan

  • Al-Kusuf (gerhana matahari) pada bahasa digunakan ketika cahaya matahari atau bulan terlindung sama ada sebahagiannya atau kesemuanya. Kebiasaannya, al-kusuf digunakan bagi gerhana bulan. Hukumnya pula ialah sunnah mu’akkadah. Jika sembahyang gerhana itu adalah untuk matahari, maka bacaan hendaklah diperlahankan, manakala jika gerhana bulan, bacaan hendaklah dinyaring dan dikuatkan. 
  • Sembahyang gerhana mempunyai dua cara:

1. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri, dua kali membaca (Al-Fatihah dan ayat) serta dua kali ruku‘ tanpa memanjangkannya (berdiri, membaca dan ruku‘, kemudian berdiri membaca dan ruku‘). Dan sah sembahyang gerhana jika didirikan dua raka‘at dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku‘ seperti sembahyang Juma‘at.

2. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri. Pada setiap kali berdiri dibaca bacaan yang panjang. Dibaca selepas Al-Fatihah, Surah Al- Baqarah atau surah-surah lain yang sama panjangnya pada berdiri kali pertama di raka‘at pertama. Untuk berdiri kali kedua pada raka‘at pertama, dibaca ayat yang menyamai 200 ayat. Manakala bacaan ketika berdiri kali pertama pada raka‘at kedua ialah sekadar 150 ayat. Dan bacaan ketika berdiri kali kedua pada raka‘at kedua ialah bacaan yang menyamai 100 ayat Surah Al-Baqarah.

Kemudian apabila ruku‘, maka dipanjangkannya sehingga menyamai lebih kurang dengan 100 ayat, ruku‘ kedua dipanjangkan sekadar 80 ayat, ruku‘ ketiga sekadar 70 ayat dan ruku‘ keempat sekadar 50 ayat. Cara yang kedua ini adalah yang lebih sempurna. Apabila sembahyang telah selesai, imam bangun berkhutbah dengan dua khutbah, sama seperti khutbah Juma‘at, cuma imam hendaklah mendorong orang ramai supaya bertaubat, melakukan kebaikan serta memberi ingatan agar tidak lalai.

Sembahyang Istisqa’ (Minta hujan)

  • Makna sembahyang istisqa’ ialah sembahyang yang disyari‘atkan ketika hujan tidak turun dan mata air kekeringan. Ia disunatkan ketika berlaku sebabnya. Tuntutan melakukannya akan luput apabila sebab tersebut hilang seperti turunnya hujan atau mata air mula mengalir.
  • Terdapat tiga cara untuk meminta hujan :

1. Cara paling minima, iaitu berdoa kepada Allah pada bila-bila waktu yang disukai.

2. Cara pertengahannya ialah dengan berdoa selepas bangun daripada ruku‘ pada raka‘at terakhir sembahyang yang diwajibkan, atau selepas selesai sembahyang.

3. Cara yang paling sempurna ialah dengan melakukan perkara-perkara berikut:

a) Pada peringkat permulaan, imam (ketua pemerintah) atau timbalannya hendaklah menyuruh orang ramai supaya bertaubat, bersedekah kepada fakir, meninggalkan segala bentuk kezaliman, dan berpuasa selama empat hari berturut-turut.

b) Imam yang sebaik-baiknya ketua pemerintah keluar bersama-sama orang ramai pada hari ke empat dalam keadaan berpuasa, memakai pakaian yang lama (lusuh), dalam keadaan khusyu‘ dan hina menuju ke padang yang luas melalui satu jalan tertentu dan pulangnya melalui jalan yang lain pula. Kemudian ketua atau timbalannya melakukan sembahyang bersama-sama orang ramai sebanyak dua raka‘at seperti sembahyang hari raya.


c) Apabila selesai sembahyang, imam (ketua pemerintah) hendaklah berkhutbah dengan dua khutbah seperti khutbah hari raya, kecuali kedua-duanya hendaklah dimulai dengan istighfar sembilan kali pada khutbah pertama dan tujuh kali pada khutbah kedua sebagai ganti kepada takbir. Apabila khutbah kedua bermula dan berlalu satu pertiga daripadanya, khatib hendaklah berpaling ke arah qiblat dengan membelakangkan orang ramai dengan mengubah kedudukan kain jubah atau selendang dengan dijadikan bahagian atas ke bawah, bahagian bawah ke atas, bahagian kanan ke kiri dan bahagian kiri ke kanan bagi menzahirkan perasaan kehinaan ke hadapan Allah subhanahu wata‘ala. Orang ramai juga disunatkan melakukan apa yang dilakukan oleh khatib.


Sembahyang Jenazah

  • Syarat-syarat sah sembahyang jenazah ialah seperti berikut:

1. Sembahyang jenazah sama halnya dengan sembahyang yang lain, iaitu harus menutup ‘aurat, suci dari hadath besar dan kecil, suci badan, pakaian dan tempat serta menghadap ke arah qiblat.

2. Mayat sudah dimandikan dan dikafankan.

3. Mayat diletak sebelah qiblat mereka yang menyembahyangkannya kecuali jika sembahyang dilakukan di atas kubur (sembahyang ghaib).

  • Cara melakukan sembahyang jenazah ialah dengan keadaan berdiri sahaja dengan tidak ruku‘, sujud, tasyahhud dan duduk. Sebelum dilakukannya juga tidak disertai dengan azan dan iqamah. 
  • Rukun-rukun dan cara menunaikannya adalah seperti berikut:

1. Bertakbir dengan takbiratul ihram dalam keadaan berniat sembahyang ke atas mayat.

2. Selepas bertakbir, dibaca Surah Al-Fatihah.

3. Bertakbir untuk kali kedua. Seterusnya membaca salawat dengan mana-mana lafaz salawat dan yang paling afdhal ialah salawat Ibrahimiyyah.

4. Kemudian bertakbir untuk kali ketiga dan berdoa untuk si mati selepas takbir tersebut.

5. Kemudian bertakbir untuk kali keempat dan berdoa selepasnya.

6. Kemudian memberi salam ke sebelah kanan dan kiri.


Read more...

~DI KALA RASA LEMAH ITU MENJENGAH~

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Memang.
Rasa lemah itu kadangkala menyapa diri.
Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.
Terkadang, cukup satu ujian yang menerpa. Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.
Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.
Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.
Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?
Bagaimana kita menyingkapinya?
Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.
Benar. Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah berada dalam kondisi itu. Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri. Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.
Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.
Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.
Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu. Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?
Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.
Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.
Bersangka baiklah.
Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti punya hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." - [Surah Al-Baqarah, 2: 216]
Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar. Inallaha ma'as sobirin.Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.
Sabar.
Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat. Agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.
Kesilapan kita.
Ada masa kita silap.
Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.
Terkadang, kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.
Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.
Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?
"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - [Surah An-Nisa', 4: 32]
Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.
Bukankah ujian itu datangnya dari Allah? Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?
Namun, silapnya pada kita.
Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.
Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat, berkuasa.
Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.
Wujudnya saat muhasabah.
Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri. Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama ini. Itupun jikalau mereka sedar.
Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.
Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.
Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?
Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.
Baik.
Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?
Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat. Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang ada. Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?
"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo'a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan." - [Surah Yunus, 10: 12]
Maka, di situ punya hikmah untuk sama-sama kita renungkan.
Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.
Dia mahu kita kembali kepadaNya.
Dia mahu kita selamat di 'sana'.
Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.
Sekarang, jawab dengan hati kita. . .
Benarkah selama ini kita telah meletakkan Dia sebagai matlamat hidup kita?
Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti kita capai?
Benarkah kita telah meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepadaNya?
Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding Dia Yang Maha Sempurna?
Moga-moga, hati-hati yang bersih itu mampu memberikan jawapan yang jujur.
Kerana saya yakin, pasti semua tahu, bahawa apabila kita sudah mengakui Allah itu sebagai Tuhan kita, seharusnya hanya Dialah yang menjadi matlamat utama hidup kita. Dan hanya kepadaNya jualah tempat kita bergantung segala.
Dan perkara-perkara lain yang 'terkorban' (ketika diuji) itu, tidak lain hanyalah salah satu kurnia dariNya dan juga sebagai ujian pembuktian keimanan manusia.
Seharusnya ia tidak mampu menggoyah matlamat hidup serta keyakinan kita.
Selama ini, adakah itu cara kita melihat?
Penutup: Kembali sedar matlamat dan peranan hidup
Kembalilah menapak bersama matlamat dan hala tuju yang jelas.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepadaKu." - [Surah Ad-Dzariyat, 51: 56]
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata, 'Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'" - [Surah Al-Baqarah, 2: 30]
Manusia itu seharusnya sedar, bahawa tujuan dia tercipta di muka bumi ini adalah untuk menghambakan diri kepadaNya (melaksanakan tanggungjawab dan perintahNya, serta meninggalkan laranganNya).
Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya 'Illah' (Tuhan) seluruh semesta.
Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.
Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa. Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.
Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.
Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.
Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.
Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.
Wahai diri,
Kali ini. . .
Letakkan Dia 'bersama' ketika kamu menapak.
Dan pasti, jalan penyelesaian itu akan mula kelihatan.
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah At-Talaq, 65: 2-3]

Read more...

MiFTah MeSSir: 9 SEMBILAN Pesananku Untuk Si Dia

MiFTah MeSSir: 9 SEMBILAN Pesananku Untuk Si Dia: "'Wahai Adam, Lindungilah Hawa selagi kamu mampu, bukan menyakitinya. Bimbingilah Hawa di jalan Nur KasihN..."
Read more...